Tuesday 29 November 2016

Keselamatan Pejabat

Adakah anda orang terakhir yang meninggalkan pejabat?

Sila pastikan:-
  1.  Suis lampu dan penghawa dingin telah dimatikan.
  2. Semua komputer/perkakasan elektrik pejabat telah dimatikan.
  3. Tingkat dan pintu bilik telah ditutup.
  4. Pintu Utama telah dikunci.



Tanggungjawab KITA


Monday 28 November 2016

SOP Keselamatan

SOP Keselamatan

Tindakan Kecemasan
Api semasa kecil menjadi kawan sudah besar menjadi lawan merupakan kata-kata yang yang amat bertepatan dengan penggunaan api dalamkehidupan harian. Biarpun api menjadi satu keperluan dalam kehidupan harian, ia akan menjadi merbahaya sekiranya tidak dikawal secara betul. Kebakaran adalah satu tindak balas kimia dimana tenaga haba dan cahaya yang terhasil akan menghasilkan asap.

Pencegahan Kebakaran
Pencegahan kebakaran merupakan satu tindakan langkah awal yang mesti diambil bagi mengelakkan api kebakaran daripada berlaku dan juga langkah awal bagi mengelakkan kebakaran yang baru bermula (infant stage) daripada merebak kepada peringkat yang boleh dikawal lagi (uncontrollable stage).

Pengurusan Risiko Kebakaran
Pihak pengurusan dan ketua penghuni sesebuah bangunan sama ada di tempat kerja atau kawasan perumahan perlulah mengambil langkah keselamatan seperti berikut sebagai persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya kebakaran :

  1. Mengadakan laluan-laluan khas yang mencukupi untuk menyelamatkan diri (mean of escape).
  2. Mengadakan pelan pengunsian bangunan.
  3. Mengadakan poster/notis pelan pengunsi bangunan.
  4. Mengadakan latihan pengunsian bangunan secara berkala.
  5. Mengadakan sistem semboyan/amaran kecemasan yang berkesan.
  6. Menyediakan peralatan melawan kebakaran yang mencukupi.
  7. Mempunyai pengurusan pengendalian rumah (housekeeping) yang bagus.
  8. Memastikan pemeriksaan dan ujian peralatan elektrik dilakukan secara berkala. 

SOP Pelan Tindakan Kecemasan

Pelan Tindakan Keselamatan Kesedaran dan keselamatan semakin meningkat di tempat kerja apabila adanya Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 untuk mencegah kemalangan.  Salah satu faktor pencegahan adalah untuk menghadapi pelan tindakan kecemasan.

Pelan Tindakan Keselamatan (PTK) adalah untuk menyediakan orang dan organisasi terhadap kecemasan untuk mencegah kecederaan dan kerosakan harta benda.

Objektif PTK:-

  • Membolehkan pekerja bertindak dengan tenang dan selamat semasa berlakunya kecemasan.
  • Tanggungjawab dan pelaksanaan oleh mereka yang dilantik untuk menjalankan tugas apabila berlakunya kecemasan.
  • Peralatan kecemasan digunakan  dengan selamat dan betul.
  • Pengosongan premis dilakukan dengan pantas, teratur dan selamat apabila berlaku kecemasan.

Terdapat beberapa jenis kecemasan yang memerlukan pelan tindakan keselamatan diadakan seperti kebakaran, letupan, bencana alam, keracunan, kebocoran toksik, bangunan runtuh dan lain-lain.

Prosedur keselamatan
Sesebuah organisasi perlu mengetahui dan melaksanakan pengurusan keselamatan dengan mengambil kira faktor-faktor berikut:-

  1. Pencegahan - Melaksanakan latihan keselamatan di tempat kerja dan cara pengendalian  bahan berbahaya serta peralatan yang digunakan.
  2. Kesediaan - Organisasi perlu menubuhkan satu jawatakuasa kecemasan yang dapat bertindak apabila berlaku kecemasan.
  3. Tindakan -  Jawatankuasa kecemasan yang ditubuhkan hendaklah bertindak dengan pantas dan efisien berserta kelangkapan yang mencukupi apabila terjadinya kecemasan.
  4. Pemulihan - Merupakan tindakan yang berfungsi untuk mengembalikan situasi cemas kepada keadaan normal seperti menilai kerosakan, mengganti atau membaiki peralatan yang rosak.

Bagi Peringkat Zon Pulau Aur, perlaksanaan langkah-langkah keselamatan termasuk kelengkapan di bawah selenggara pentadbiran Jabatan. Walaubagaimana pun, Zon Pulau Aur telah menyediakan
Pelan Tindakan Kecemasan termasuk Laluan Kecemasan bagi Zon Pulau Aur.

Langkah-langkah untuk mengosongkan bangunan (Evacuation Step)

  1. Apabila loceng kecemasan dibunyikan, jangan panik. Bertenang dan tunggu pengumuman.
  2. Selepas mendengar pengumuman untuk mengosongkan bangunan, pastikan kehadiran pegawai dan kakitangan di pejabat. Lihat sekeliling untuk memastikan siapa yang ada dipejabat atau tidak.
  3. Matikan semua suis elektrik dan pastikan peralatan pejabat turut dimatikan.
  4. Tinggalkan barangan yang tidak perlu dibawa.
  5. Tutup dan kunci pintu-pintu yang berkenaan.
  6. Gunakan jalan keluar yang terdekat seperti di Pelan Kecemasan dan berkumpul di Kawasan Berkumpul (Parkir Awam).
  7. Jangan gunakan lif.
  8. Jangan tuju ke tempat letak kereta di dalam bangunan.
  9. Dengar arahan keselamatan dan jangan bertindak bersendirian.

Sunday 27 November 2016

Penjenamaan Semula Amalan 5S

EKSA merupakan penjenamaan semula Amalan 5S yang telah diguna pakai dalam sektor awam semenjak tahun 2010. Komponen utama dalam pelaksanaan EKSA masih berteraskan Amalan 5S yang ditambah baik di samping penambahan beberapa elemen baru.

EKSA bukan bertujuan untuk menggantikan konsep 5S yang diamalkan sebelum ini, sebaliknya menambah baik elemen 5S tersebut dengan menyokong kepada pewujudan persekitaran kerja yang lebih kondusif. Amalan 5S ditambah baik dengan menambah lima elemen baharu iaitu:-
  • Imej korporat 
  • Kreativiti dan inovasi 
  • Amalan Hijau 
  • Persekitaran Kondusif 
  • Kepelbagaian agensi 
Objektif utama penjenamaan semula Amalan 5S Sektor Awam kepada EKSA adalah untuk membolehkan jabatan/agensi kerajaan:
  1. Meningkatkan imej korporat. 
  2. Memperluas pelaksanaan di agensi-agensi kerajaan bagi mewujudkan persekitaran yang kondusif. 
  3. Memastikan elemen pengauditan memenuhi keperluan kepelbagaian agensi kerajaan. 
  4. Menyemarakkan aktiviti kreativiti dan inovasi selaras dengan tuntutan pihak berkepentingan. 
  5. Menggalakkan aktiviti ke arah mewujudkan persekitaran hijau melalui pembudayaan Amalan Hijau (Go Green). 

Elemen Baharu EKSA

Lima elemen baharu EKSA adalah

IMEJ KORPORAT

Imej korporat merujuk kepada identiti atau persepsi pelanggan atau pihak berkepentingan terhadap persekitaran, tindakan dan pencapaian sesebuah organisasi. Nilai, etika dan norma kerja yang seragam dalam kalangan warga kerja amat diperlukan untuk mewujudkan budaya korporat yang positif. Selain ciri-ciri ini, EKSA juga turut menitikberatkan aspek keselamatan persekitaran di setiap jabatan/agensi sektor awam.

KREATIVITI DAN INOVASI


Dalam usaha untuk mempertingkatkan produktiviti di tempat kerja, EKSA menggalakkan warga jabatan/agensi membudayakan elemen kreativiti dan inovasi semasa melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing. Persekitaran sektor awam yang sering kali berubah mengikut peredaran masa menuntut pewujudan budaya organisasi yang dinamik berasaskan kreativiti dan inovasi.

Warga jabatan/agensi digalakkan untuk sentiasa berfikir di luar kotak (out of the box) untuk menghasilkan persekitaran kerja yang kondusif dan selamat.

AMALAN HIJAU
Penekanan turut diberikan kepada Amalan Hijau di pejabat dengan melaksanakan program seperti kitar semula dan meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga ke arah penjimatan sumber. Aktiviti Amalan Hijau diharap dapat diterapkan kepada keseluruhan warga jabatan/agensi ke arah penggunaan sumber secara optimum.

PERSEKITARAN KONDUSIF

Persekitaran kondusif adalah penting dalam memperkukuhkan budaya organisasi berprestasi tinggi dan inovatif dalam kalangan jabatan/agensi sektor awam. Amalan EKSA menggalakkan jabatan/agensi sektor awam memberikan penekanan kepada penyampaian sistem perkhidmatan, mesra pelanggan dan memberi keselesaan semasa berurusan. Bagi pelanggan orang kurang upaya (OKU), kemudahan yang sesuai harus disediakan.

KEPELBAGAIAN AGENSI

EKSA memperkenalkan model penilaian dan pengauditan baharu yang merangkumi kriteria generik dan kriteria khusus dengan mengambil kita kepelbagaian premis jabatan/agensi kerajaan mengikut jenis perkhidmatan yang diberikan. Pendekatan yang dipraktikkan sebelum ini iaitu one size fits all didapati kurang mencakupi keperluan kepelbagaian jabatan/agensi kerajaan pada masa kini.

Monday 21 November 2016

Sesi Penyerahan Dokumentasi dan Buku Panduan EKSA


Hari Inovasi dan Majlis Pelancaran EKSA JUPEM Johor

Hari Inovasi dan Majlis EKSA JUPEM Johor telah berlangsung pada 21 November 2016 di Dewan Iskandar Puteri. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh YBrs. Sr Hj Ramli bin Nor, Pengarah Ukur dan Pemetaan Negeri Johor.


Majlis bermula dengan sesi ceramah oleh Encik Hassan bin Sulaimi, Penolong Penguatkuasa SPRM Johor dengan tajuk "Cabaran Penjawat Awam dalam Melaksanakan Tugas Berintegriti Masakini".

Selepas jamuan ringan, program dan aktiviti Inovasi 2016 telah dimulakan dengan Tayangan Montaj Program Inovasi 2016 dan diikuti dengan Taklimat Ringkas Projek KIK JUPEM Johor yang disampaikan oleh Ketua Kumpulan KIK, Encik Fahmi bin Azhari.

Seterusnya, Majlis Pelancaran EKSA JUPEM Johor yang dirasmikan oleh YBrs. PUPN turut diadalah. Majlis seterusnya diikuti dengan Penyampaian Dokumen EKSA oleh Tuan PUPN kepada Ketua Zon.


Majlis diakhiri dengan sesi Penyampaian Anugerah PUPN, Seksyen/Pejabat Ukur Daerah Terbaik, Anugerah dan Hadiah Pertandingan Inovasi serta Penyerahan Rasmi Kenderaan Jabatan kepada Pejabat Ukur Daerah. Majlis tersebut bersurai tepat pada jam 11.30 pagi.

Pemenang Logo EKSA


Pemenang Motto EKSA


Montaj EKSA JUPEM Johor


Teks Ucapan sempena Majlis Sambutan Hari Inovasi dan Majlis Pelancaran EKSA JUPEM Johor

TEKS UCAPAN
MAJLIS SAMBUTAN HARI INOVASI
JABATAN UKUR DAN PEMETAAN NEGERI JOHOR

Oleh
YBhg Sr HAJI RAMLI BIN NOR
Pengarah Ukur dan Pemetaan Johor

Pada 21 November 2016
BISMILLAHIRAHMANIRAHIM

Yang Berusaha Encik Tsalimy bin Abdullah
Timbalan Pengarah Ukur Dan Pemetaan I

Yang Berusaha Sr Pauzzi bin Ismail
Timbalan Pengarah Ukur Dan Pemetaan II

Yang Berusaha Encik Hassan bin Sulaimi, Penolong Penguatkuasa, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Negeri Johor.

Juruukur-Juruukur Daerah

Ketua-Ketua Seksyen

Ketua-Ketua Cawangan

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera, Salam 1Malaysia dan Salam Inovasi.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Alhamdulillah dan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan–Nya maka kita dapat bersama-sama berhimpun di Dewan Iskandar Puteri yang mulia ini untuk menjayakan sambutan Hari Inovasi Jabatan Ukur dan Pemetaan Negeri Johor Tahun 2016 yang diadakan pada hari ini.

Terima kasih saya ucapkan kepada jawatankuasa penganjur kerana telah sudi menjemput saya untuk menyempurnakan majlis perasmian pada pagi ini. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada semua warga JUPEM Johor yang telah terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan sambutan Hari Inovasi JUPEM Johor Tahun 2016 pada hari ini.

Sebenarnya, program Inovasi bagi JUPEM Johor telah dilancarkan pada awal tahun ini. Hari ini merupakan hari kemuncak bagi kita meraikan kejayaan kepada semua pemenang Pertandingan-Pertandingan Kreativiti dan Inovasi, serta Anugerah Khas Pengarah Ukur dan Pemetaan Negeri Johor kepada Individu dan juga Pejabat Ukur Daerah atau Seksyen Terbaik yang bakal diumumkan sebentar nanti.

Kejayaan yang mencerminkan komitmen warga JUPEM Johor dalam usaha untuk menghasilkan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Syabas dan tahniah kepada bakal pemenang. Kepada yang tidak
terpilih pada tahun ini, tahniah dan terima kasih kerana telah turut sama memberikan sumbangan dalam peningkatan terhadap kreativiti dan inovasi. Saya berharap agar pengiktirafan yang diterima akan memberi suntikan semangat kepada pemenang anugerah untuk menghasilkan inovasi yang boleh mengharumkan nama JUPEM Johor sama ada di peringkat negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa.

Bagi mencungkil bakat dan mendapatkan idea-idea yang kreatif dan inovatif, Saya melihat program-program inovasi sebegini perlu diperbanyakkan lagi demi menyahut hasrat dan matlamat Kerajaan
untuk menyuburkan lagi budaya inovasi dan kreativiti di kalangan Jabatan-Jabatan dan Aagensi-Agensi Kerajaan, dan tidak terkecuali bagi kita, JUPEM. Program seumpama ini juga boleh dijadikan
sebagai salah satu platform untuk menyuburkan pembudayaan inovasi dan kreativiti di kalangan warga JUPEM di Johor.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Syabas saya ucapkan sekali lagi kepada wakil daripada Pejabat Ukur Daerah dan Seksyen di Ibu Pejabat JUPEM Johor kerana telah berjaya menghadiri program taklimat KIK yang disampaikan oleh
Team Excellence” daripada JUPEM Kedah pada 4 Mei hari itu.

Saya juga ingin merakamkan setinggi-tingginya penghargaan kepada kesemua 12 pasukan daripada Pejabat Ukur Daerah dan Seksyen di Ibu Pejabat JUPEM Johor yang telah berjaya membentangkan hasil inovasi masing-masing dalam program Pertandingan Inovasi yang berlangsung pada 9 Mei lalu. Program baik ini seharusnya dijadikan sebagai program yang wajib untuk diadakan pada setiap tahun.

Di samping itu, kita juga menyaksikan satu lagi aktiviti kreatif dan inovasi iaitu Pertandingan Logo dan Moto EKSA yang berlangsung pada bulan Ogos 2016. Satu pilihan raya kecil bagi mengundi dan memilih logo dan moto baru bagi EKSA JUPEM Johor yang diadakan pada 26 Oktober baru-baru ini. Keputusannya juga akan dimaklumkan secara rasminya semperna program hari ini.

Justeru, kesemua Pemenang Pertandingan dan Penerima Anugerah Khas Jabatan telah dijemput ke majlis pada pagi ini dan hadiah dan anugerah akan disampaikan pada penghujung majlis ini. Pihak Pengurusan saya telah menyediakan pelbagai hadiah-hadiah, sama ada dalam bentuk wang tunai, hamper dan sijil penghargaan sebagai tanda penghargaan kepada para pegawai di JUPEM Johor bagi menghargai sumbangan dan jasa, serta pencapaian prestasi yang begitu cemerlang sepanjang tahun 2016.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Akhir sekali, saya amat berharap agar warga JUPEM Johor tidak jemu untuk sentiasa berinovasi dan mencari idea-idea baru serta jika boleh kurangkan birokrasi, pilih kasih dalam menyampaikan perkhidmatan kepada para pelanggan kita dan menyumbangkanlah idea-idea baru yang boleh menguntungkan Jabatan dan Kerajaan.

Sebelum saya akhiri ucapan saya, besar hati saya berharap agar Pasukan KIK JUPEM Johor - “Kumpulan PRESTIJ” supaya dapat mencatatkan kemenangan dalam Pertandingan KIK Peringkat

JUPEM pada bulan Januari 2017, tidak lama lagi dari sekarang. Saya juga difahamkan bahawa, kita semua dapat menyaksikan hasil mereka pada pagi ini dalam slot taklimat KIK yang akan disampaikan oleh Ketua Pasukan Prestij.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Akhir kata, sekali lagi syabas dan tahniah saya ucapkan kepada jawatankuasa penganjur dan semua pihak yang terlibat dan bertungkus lumus untuk menjayakan program Hari Inovasi JUPEM Johor 2016 ini.

Dengan lafaz Bismillahhirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Hari Inovasi Jabatan Ukur dan Pemetaan Negeri Johor Tahun 2016.

Sekian, wabillahitaufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh. Sekian, terima kasih.

Wednesday 16 November 2016

Carta Organisasi Jawatankuasa Induk EKSA JUPEM Johor


Pengenalan kepada EKSA

Apa itu EKSA

EKSA adalah singkatan kepada Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA). Ia diterajui oleh pihak MAMPU dan ia merupakan penjanamaan semula bagi Perlaksanaan Amalan 5S Sektor Awam serta bertujuan untuk meningkatkan budaya kecermelangan organisasi yang lebih berimej korporat. Selain itu juga ianya melahirkan idea, kreativiti dan inovasi.

Pengenalan EKSA

EKSA telah diperkenalkan mulai Januari 2014 sebagai inisiatif penjenamaan semula Amalan 5S Sektor Awam dengan mengambil kira keperluan bagi mengetengahkan persekitaran tempat kerja yang berkualiti dan kondusif supaya lebih relevan kepada jabatan/agensi sektor awam di Malaysia.

Langkah penjenamaan semula ini difikirkan sesuai dan seiring dengan perubahan dan kehendak semasa untuk meningkatkan prestasi kerja dan daya saing organisasi di samping menyemarakkan lagi budaya kreatif dan inovatif dalam kalangan jabatan/agensi sektor awam.