Monday 21 November 2016

Teks Ucapan sempena Majlis Sambutan Hari Inovasi dan Majlis Pelancaran EKSA JUPEM Johor

TEKS UCAPAN
MAJLIS SAMBUTAN HARI INOVASI
JABATAN UKUR DAN PEMETAAN NEGERI JOHOR

Oleh
YBhg Sr HAJI RAMLI BIN NOR
Pengarah Ukur dan Pemetaan Johor

Pada 21 November 2016
BISMILLAHIRAHMANIRAHIM

Yang Berusaha Encik Tsalimy bin Abdullah
Timbalan Pengarah Ukur Dan Pemetaan I

Yang Berusaha Sr Pauzzi bin Ismail
Timbalan Pengarah Ukur Dan Pemetaan II

Yang Berusaha Encik Hassan bin Sulaimi, Penolong Penguatkuasa, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Negeri Johor.

Juruukur-Juruukur Daerah

Ketua-Ketua Seksyen

Ketua-Ketua Cawangan

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera, Salam 1Malaysia dan Salam Inovasi.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Alhamdulillah dan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan–Nya maka kita dapat bersama-sama berhimpun di Dewan Iskandar Puteri yang mulia ini untuk menjayakan sambutan Hari Inovasi Jabatan Ukur dan Pemetaan Negeri Johor Tahun 2016 yang diadakan pada hari ini.

Terima kasih saya ucapkan kepada jawatankuasa penganjur kerana telah sudi menjemput saya untuk menyempurnakan majlis perasmian pada pagi ini. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada semua warga JUPEM Johor yang telah terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan sambutan Hari Inovasi JUPEM Johor Tahun 2016 pada hari ini.

Sebenarnya, program Inovasi bagi JUPEM Johor telah dilancarkan pada awal tahun ini. Hari ini merupakan hari kemuncak bagi kita meraikan kejayaan kepada semua pemenang Pertandingan-Pertandingan Kreativiti dan Inovasi, serta Anugerah Khas Pengarah Ukur dan Pemetaan Negeri Johor kepada Individu dan juga Pejabat Ukur Daerah atau Seksyen Terbaik yang bakal diumumkan sebentar nanti.

Kejayaan yang mencerminkan komitmen warga JUPEM Johor dalam usaha untuk menghasilkan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Syabas dan tahniah kepada bakal pemenang. Kepada yang tidak
terpilih pada tahun ini, tahniah dan terima kasih kerana telah turut sama memberikan sumbangan dalam peningkatan terhadap kreativiti dan inovasi. Saya berharap agar pengiktirafan yang diterima akan memberi suntikan semangat kepada pemenang anugerah untuk menghasilkan inovasi yang boleh mengharumkan nama JUPEM Johor sama ada di peringkat negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa.

Bagi mencungkil bakat dan mendapatkan idea-idea yang kreatif dan inovatif, Saya melihat program-program inovasi sebegini perlu diperbanyakkan lagi demi menyahut hasrat dan matlamat Kerajaan
untuk menyuburkan lagi budaya inovasi dan kreativiti di kalangan Jabatan-Jabatan dan Aagensi-Agensi Kerajaan, dan tidak terkecuali bagi kita, JUPEM. Program seumpama ini juga boleh dijadikan
sebagai salah satu platform untuk menyuburkan pembudayaan inovasi dan kreativiti di kalangan warga JUPEM di Johor.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Syabas saya ucapkan sekali lagi kepada wakil daripada Pejabat Ukur Daerah dan Seksyen di Ibu Pejabat JUPEM Johor kerana telah berjaya menghadiri program taklimat KIK yang disampaikan oleh
Team Excellence” daripada JUPEM Kedah pada 4 Mei hari itu.

Saya juga ingin merakamkan setinggi-tingginya penghargaan kepada kesemua 12 pasukan daripada Pejabat Ukur Daerah dan Seksyen di Ibu Pejabat JUPEM Johor yang telah berjaya membentangkan hasil inovasi masing-masing dalam program Pertandingan Inovasi yang berlangsung pada 9 Mei lalu. Program baik ini seharusnya dijadikan sebagai program yang wajib untuk diadakan pada setiap tahun.

Di samping itu, kita juga menyaksikan satu lagi aktiviti kreatif dan inovasi iaitu Pertandingan Logo dan Moto EKSA yang berlangsung pada bulan Ogos 2016. Satu pilihan raya kecil bagi mengundi dan memilih logo dan moto baru bagi EKSA JUPEM Johor yang diadakan pada 26 Oktober baru-baru ini. Keputusannya juga akan dimaklumkan secara rasminya semperna program hari ini.

Justeru, kesemua Pemenang Pertandingan dan Penerima Anugerah Khas Jabatan telah dijemput ke majlis pada pagi ini dan hadiah dan anugerah akan disampaikan pada penghujung majlis ini. Pihak Pengurusan saya telah menyediakan pelbagai hadiah-hadiah, sama ada dalam bentuk wang tunai, hamper dan sijil penghargaan sebagai tanda penghargaan kepada para pegawai di JUPEM Johor bagi menghargai sumbangan dan jasa, serta pencapaian prestasi yang begitu cemerlang sepanjang tahun 2016.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Akhir sekali, saya amat berharap agar warga JUPEM Johor tidak jemu untuk sentiasa berinovasi dan mencari idea-idea baru serta jika boleh kurangkan birokrasi, pilih kasih dalam menyampaikan perkhidmatan kepada para pelanggan kita dan menyumbangkanlah idea-idea baru yang boleh menguntungkan Jabatan dan Kerajaan.

Sebelum saya akhiri ucapan saya, besar hati saya berharap agar Pasukan KIK JUPEM Johor - “Kumpulan PRESTIJ” supaya dapat mencatatkan kemenangan dalam Pertandingan KIK Peringkat

JUPEM pada bulan Januari 2017, tidak lama lagi dari sekarang. Saya juga difahamkan bahawa, kita semua dapat menyaksikan hasil mereka pada pagi ini dalam slot taklimat KIK yang akan disampaikan oleh Ketua Pasukan Prestij.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Akhir kata, sekali lagi syabas dan tahniah saya ucapkan kepada jawatankuasa penganjur dan semua pihak yang terlibat dan bertungkus lumus untuk menjayakan program Hari Inovasi JUPEM Johor 2016 ini.

Dengan lafaz Bismillahhirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Hari Inovasi Jabatan Ukur dan Pemetaan Negeri Johor Tahun 2016.

Sekian, wabillahitaufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh. Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment